salam Pictures, Images and Photos

Hang Tuah – Strategi Pahlawan 1: Persediaan Awal yang Serius dan Bersungguh-Sungguh

9:51 PTG Edit This 0 Comments »
March 30, 2010
Oleh WM | Kategori Sejarah, Sembang-Sembang, Tokoh

Artikel ini telah dibaca sebanyak: 3,833 kali

Lanjutan dari artikel ‘Hang Tuah – Melihat Dari Perspektif Prinsip Pemikiran Strategik, berikut diperturunkan sebahagian pengajaran yang sempat dirungkai dari Hikayat Hang Tuah untuk perkongsian ilmu.

hikayat hang tuah
Hikayat Hang Tuah – Antara karya hebat tamadun bangsa Melayu, tetapi masih relevan lagikah hari ini?
Prinsip pertama adalah dipetik dari fasa awal kehidupan Hang Tuah. Seperti yang diceritakan dalam artikel “Hang Tuah – Antara Sejarah, Mitos atau Hikayat?”, Hang Tuah lahir hasil perkongsian hidup Hang Mahmud dan isterinya Dang Merdu Wati. Bagi mencapai impian Hang Mahmud untuk melihat anak ini membesar menjadi insan yang hebat, maka mereka sekeluarga telah mengambil keputusan untuk berpindah dari Sungai Duyong ke Bentan yang dianggap lebih kondusif dalam pembentukan peribadi Hang Tuah.
Di sana, Hang Mahmud telah memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual makanan dan kayu api. Beliau dibantu oleh isterinya, sementara Hang Tuah pula ditugaskan dengan tugasan yang pelbagai termasuklah dalam pengurusan logistik ke rumah Bendahara, hinggalah kepada memotong dan mengumpul kayu api.
Hang Tuah sendiri telah mempelajari 12 bahasa pelbagai komuniti masyarakat pada seawal usia 10 tahun.
Diringkaskan cerita, perjalanan hidup Hang Tuah di usia mudanya banyak terikat dengan bimbingan ilmu dan asuhan disiplin dari ayahandanya sendiri.
Impian seorang ayah, sudah tentunya ialah untuk melihat anaknya menjadi seorang yang berjaya. Maka tidak hairanlah, ayah Hang Tuah begitu serius, teliti dan prihatin dalam memastikan pergaulan, persekitaran dan kehidupan Hang Tuah tidak tercemar dengan unsur-unsur yang buleh membantutkan impiannya. Jesteru, Hang Mahmud memastikan perjalanan hidup anaknya tidak terkeluar dari kerangka yang telah ditetapkan.
Hang Tuah telah didedahkan dengan selok-belok dan seni perniagaan atas bimbingan ayahandanya sendiri. Tradisi pahlawan Melayu juga diwarisi oleh Hang Tuah. Berkemungkinan besar, ayahandanya sendiri adalah guru terawal Hang Tuah dalam ilmu persilatan yang akhirnya, mempertemukan lima sahabat karib yang terkenal dengan keakraban yang cukup tinggi nilainya.
Pengajarannya ialah, sebagai insan, kita adalah pemimpin kepada rakyat bawahan kita dalam skop masing-masing. Sepertimana Hang Mahmud serius membimbing dan membentuk keperibadian anakandanya, Hang Tuah, maka kita juga selayaknya mengambil sikap begitu dalam mendidik anak-anak.
Prinsip ini walaupun nampak biasa, tetapi merupakan antara batu asas pembentukan diri pejuang atau pahlawan yang menitikberatkan pembentukan disiplin diri seawal usia kanak-kanak lagi. Ianya hanya tercapai menerusi bimbingan seorang ayah/pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh mencurah ilmu, pengalaman dan petunjuk yang terbaik ke arah merealisasikan impiannya untuk melihat si anak menjadi insan yang hebat.
Dalam konteks pembentukan seorang pejuang yang mahir dalam seni pertempuran, prinsip ini sebenarnya selari dengan saranan-saranan ‘Sun Tzu’s Art of War’ khususnya, malah nasihat-nasihat ilmuan Islam yang merumuskan antaranya:
  1. Pemimpin (buleh jadi ia seorang ayah, pengurus, pemimpin organisasi, dan sebagainya) perlu membimbing dan melatih orang bawahannya. Ibnu Khaldun juga ada menyatakan dalam Al-Muqaddimah, “Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar.”
  2. Pemimpin perlu mahir dan tajam pemikirannya dalam melakukan ‘quantitative estimation’ dan menjauhkan sikap sambil lewa atau suka melakukan ‘guesswork’ dalam tugasan
Jika dikaji, Hang Tuah juga telah membuktikan kemampuan dalam melakukan satu keputusan strategik secara pantas dengan melakukan perubahan dalam strategi perniagaannya bagi melonjakkan kembali perniagaan ayahnya yang kurang memberangsangkan pada ketika itu. Apa yang dilakukan ialah dengan melakukan misi menjalin perhubungan perniagaan luar dengan mendapatkan sumber-sumber bahan di luar Melaka, iaitu di Tanah Jawa.
Dalam konteks ini, mana mungkin Laksamana Hang Tuah mampu melakukan semua ini jika beliau bukannya seorang:
  1. ‘Self starter’ – iaitu tidak bersikap tunggu dan lihat dan bergantung pada arahan dari orang lain
  2. Sudah tentu pengalaman Hang Tuah bersama dalam perniagaan ayahnya banyak membantu dirinya dengan kemahiran ‘quantitative estimation’ yang membolehkan beliau memiliki ciri-ciri ‘self starter’ atau peneraju yang mampu bertindak dengan penuh keyakinan. Ini adalah kerana keputusan yang diambil adalah berasas, ada kira-kiranya dan berfakta
Inilah serba ringkas kupasan WM yang tak seberapa, sekadar untuk perkongsian ilmu. Semoga ada manfaatnya pada pembaca semua dan bersambung dengan kupasan seterusnya.
Artikel sama yang berkaitan:
  1. Dari Mana Hang Tuah Berasal? Versi Sulalatus Salatin Menurut versi Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu oleh A. Samad Ahmad, asal nama Hang Tuah ialah nama yang...
  2. Bicara Hang Tuah Lima Bersaudara dari Perspektif Yang Lebih Luas Bila berbicara tentang empat sahabat besar Nabi SAW, maka kita akan dapat melihat kehebatan dan keunikan masing-masing...
  3. Kejatuhan Empayar Melaka. Pengajaran dan yang Tersirat. Melaka sebelum ditawan Portugis atau Peringgi ialah sebuah pusat perdagangan yang maju di Asia Tenggara. Semua masyarakat...
  4. Hang Tuah – Melihat Dari Perspektif Prinsip Pemikiran Strategik WM tertarik dan terpanggil untuk sama-sama berkomentar atas tajuk artikel yang dibawa oleh Anak Waris berkisar seorang...
  5. Hang Tuah – Antara Sejarah, Mitos atau Hikayat? Siapa tidak kenal dengan nama Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu Melaka yang sifatnya ingin berbakti kepada Sultan...
Sub topik:

Artikel sebelum: Kejatuhan Empayar Melaka. Pengajaran dan yang Tersirat. »
Artikel selepas: Cintailah Buminda Kita (Sempena 40 Tahun Hari Bumi) »

Rentetan Kisah dan Perang Melaka yang Berlarutan

9:43 PTG Edit This 0 Comments »
April 13, 2010
Oleh Anak Waris | Kategori Kebangkitan, Pejuang Bangsa, Sejarah

Artikel ini telah dibaca sebanyak: 3,112 kali

istana
Sambungan dari artikel – Kejatuhan Empayar Melaka. Pertarungan sengit berlaku diantara kedua belah pihak dan akhirnya Portugis berjaya menawan kedudukan strategik di jambatan, dan seterusnya mara ke Masjid dan Istana Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan orang Portugis, Sultan Ahmad telah berundur ke Bentan manakala Sultan Mahmud pula berundur ke Kampar.
Berikut adalah rentetan siri serangan dan tindak balas orang Melayu ke atas Melaka:-
Antara tahun 1510 – 1518: orang Melayu di bawah kepimpinan Sultan Mahmud telah menyerang Melaka beberapa kali yang diketui oleh Laksamana Hang Nadim. Orang Portugis tidak dapat dihalau dari Melaka kerana mereka mempunyai kota yang amat kukuh untuk ditembusi.
Tahun 1519 – orang Melayu telah menyekat makanan supaya tidak sampai ke Melaka dan memaksa Portugis mendapatkan bantuan dari Burma.
Tahun 1520 – di bawah Paduka Tuan dan Sultan Abdul Jalil (Raja Kampar) orang Melayu telah menyerang Portugis di Melaka.
Kerana siri serangan inilah maka orang Portugis telah mengambil tindakan dan menyerang balas Sultan Mahmud di Kampar pada akhir 1511 dan memaksa Sultan Mahmud berundur ke Pagoh.
Berikut siri serangan Portugis di Pagoh dan Bentan:-
Pada Julai/Ogos 1512 – Portugis menyerang Pagoh diketui Fernao Peres De Andrade
Tahun 1519 – Portugis menyerang Pagoh diketuai oleh Duarte De Millo
Tahun 1520 – Portugis menyerang Pagoh diketuai Garcia De Sa
Tahun 1521 – Sebanyak 18 buah kapal dan 600 askar diketuai Jeorge De Albuquerque menyerang Bentan. Tahun berikut 1523, 1524 dan 1526 – Portugis menyerang Bentan.
Oleh kerana siri serangan orang Portugis ini , ia telah menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa beberapa kali berundur. Sultan Mahmud apabila diserang di Pagoh buat kali pertama telah berundur ke Pahang kemudian ke Lubuk Batu.
Selepas Pahang, Sultan Mahmud telah berundur ke Pulau Bentan dan seterusnya berpatah balik ke Pagoh dan apabila diserang lagi oleh Portugis maka Sultan Mahmud berundur pula ke Muar dan akhirnya bersemayam di Bentan.
Seterusnya Sultan Mahmud berundur ke Kampar dan mangkat di Kampar pada tahun 1528 dan dikenali sebagai ‘Marhum Mangkat Di Kampar’. Sejak itu Raja Ali (anak Sultan Mahmud dengan Tun Fatimah) menjadi Sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II. Raja Muzaffar Shah pula salah seorang anak Sultan Mahmud telah dijemput ke Perak dari Kampar dan menjadi Sultan Perak.
Penentangan dari Kesultanan Johor
Pada tahun 1533 Sang Naya seorang rakyat Johor dan Melaka cuba menyerang Portugis dari dalam Melaka semasa orang Portugis pergi ke gereja. Tetapi rancangannya diketahui lalu ia dibunuh dengan cara menjatuhkannya dari menara bangunan. Perbuatan ini menyebabkan Sultan Johor pada masa itu marah. Oleh itu, Estavao Da Gama (anak Visco Da Gama) telah menghantar wakil ke Johor untuk menjelaskan pembunuhan Sang Naya tetapi wakil itu telah ditangkap lalu disuruh memanjat pokok yang tinggi lalu ditolak ke bawah dan mati.
Oleh itu, pada Jun 1533 Portugis dengan dua buah kapal dan 400 askar diketuai oleh Estavao telah menyerang Johor dan memaksa sultan berundur ke Sayung. Penyerangan ini menyebabkan orang Melayu marah dan menyerang kapal Portugis yang lalu di perairan Johor. Pada tahun 1536 Portugis menyerang Sayung dan menang dan ini memaksa Sultan untuk berdamai.
Pada Januari 1551, dengan bantuan Perak dan Pahang, Johor telah menyerang Portugis dengan 200 perahu dan 5000 askar. Mereka telah mengepung Melaka selama 3 bulan tetapi gagal setelah Portugis merancang menyerang Perak dan Pahang serta Johor dan mendesak ke-3 negeri berundur dan mempertahankan negeri mereka masing-masing. Sejak itu Johor tidak lagi menyerang Portugis di Melaka semasa Sultan Alauddin Riayat Shah II.
Pada tahun 1564, Sultan Alauddin Riayat Shah al-Qahhar iaitu Sultan Acheh , telah menyerang Johor dan menawan Sultan Alauddin dan keluarganya. Sultan Johor dihukum bunuh dan dikenali sebagai ‘Marhum Syahid Mangkat di Acheh. Pada tahun 1570/71, Sultan Umar yang berasal dari Pahang (Putera Raja Ahmad dengan Puteri Puspa Dewi), dilantik menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Riayat Shah II den baginda melantik Tun Seri Lanang menjadi Bendahara Johor. Sultan Ali mendirikan kerajaan di Johor Lama. Semasa pemerintahan Sultan Ali terdapat beberapa siri serangan orang Johor ke atas Melaka, iaitu;
Tahun 1577 – Johor membantu Acheh menyerang Portugis, pada masa ini hubungan Johor dengan Acheh adalah baik.
Tahun 1587 – Sultan Ali menyerang Portugis di Melaka tetapi gagal.
Kerana siri serangan Johor ini maka Portugis juga telah melancarkan siri serangannya ke atas Johor, iaitu;
Tahun 1576 – Portugis menyerang Johor Lama tetapi gagal.
Tahun 1578 – Portugis sekali lagi menyerang Johor Lama tetapi sekali lagi gagal kerana pada masa ini Johor dan Acheh bersahabat baik dan Johor dibantu oleh Acheh mempertahankan Johor.
Pada Julai 1587 – Portugis menyerang Johor tetapi sekali lagi telah kalah, akhirnya Portugis kembali ke Melaka.
Pada 15 Ogos 1587 – Portugis di bawah pimpinan Poula De Lima menyerang Johor Lama dan Kota Batu dengan kekuatan 600 askar dan berjaya menawan Johor Lama dan Kota Batu.
Pada tahun 1589 – pasukan Portugis di bawah Francisco Da Sauza Pereira telah menyerang Batu Sawar dan berjaya menawan Batu Sawar.
Sultan Ali mangkat pada tahun 1597 di Batu Sawar dan dikenali sebagai ‘ Marhum Mangkat di Batu Sawar’.
Penentangan Acheh dan Peperangan 3 Segi
Apabila Acheh diserang Portugis pada Mei 1521, maka Acheh juga telah menjalankan siri serangan ke atas Portugis di Melaka dan Johor dan disinilah dikatakan bermulanya perang 3 segi antara Portugis-Johor-Acheh.
Namun, ada pendapat mengatakan bahawa Acheh menyerang Portugis adalah untuk membebaskan negeri Islam dari orang-orang kafir seperti yang dinyatakan oleh Lee Kam Heng “Perbalahan antara orang-orang Acheh dengan orang Portugis itu hampir-hampir merupakan peperangan agama”.
Antara siri serangan Acheh ialah:-
Tahun 1537 dan 1547 – Sultan Alauddin al-Qahhar telah menyerang Portugis di Melaka tetapi gagal.
Tahun 1539 – perang antara Johor dan Acheh bermula.
Tahun 1564 – Sultan Alauddin telah bersahabat dengan Turki den mendapat bantuan 500 meriam untuk menyerang Portugis tetapi gagal.
Tahun 1573 – Sultan Ali Riayat Shah iaitu anak Sultan Alauddin al-Qahhar yang mangkat pada 1571 telah menyerang Portugis tetapi gagal.
Tahun 1578 – Sultan Acheh menyerang Portugis dan gagal juga.
Tahun 1587 – Acheh sekali lagi datang tetapi masih gagal menewaskan Portugis di Melaka.
Pada tahun 1628, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Acheh telah melancarkan serangan ke atas Portugis dengan kekuatan 236 kapal dan 20000 askar dan masa itu angkatan Portugis di bawah Diego Lopez De Francesca. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah mengepung kota Melaka selama 5 bulan tetapi pada Mac 1629 Acheh terpaksa berundur setelah diserang oleh Pahang yang membantu Portugis di bawah pimpinan Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil Shah III) iaitu Sultan Johor-Pahang pada masa itu.
acheh
Lakaran perang Aceh-Portugis di Melaka tahun 1629 Masihi
Sejak itu Acheh tidak lagi menyerang Portugis di Melaka. Sultan Muda Thani yang menggantikan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam tidak berminat melancarkan siri serangan dan lebih tertumpu kepada hal-hal pentadbiran negerinya sahaja.
Penentangan Orang Melayu Naning
Selain Johor dan Acheh, terdapat sebuah negeri kecil yang berhampiran dengan Melaka dan memainkan peranan dalam sejarah penentangan orang Melayu ke atas Portugis, iaitu Naning. Apabila Portugis bermusuh dengan Johor pada tahun 1586, orang Melayu Naning tidak lagi menghantar dagangannya terutama makanan ke Melaka.
Pada Nov 1586, Diego De Azambuja telah pergi keNaning dengan membawa 500 askar dan menyerang Tabuh Naning (kekuatan Naning pada masa itu ialah 2000 orang sahaja). Orang Naning menggunakan senapang pemuras dan sumpitan tetapi akhirnya Naning tewas ke atas Portugis dan Naning terpaksa akur dengan kekuasaan Portugis di Melaka.
Penentangan Johor dan Belanda
Johor diperintah oleh Sultan Abdullah atau dikenali Raja Seberang atau Raja Bungsu selepas Sultan Alaudin Riayat Shah III. Johor telah mengadakan hubungan dengan Belanda dan ini diikuti dengan lawatan Belanda ke Johor iaitu:-
Jacob Van Heemsberk 1602
Jacob Pietersz Van Enkhuijen 1603
Laksamana Wijb An Wijck Mei 1604
- pada masa lawatan Laksamana Wijb Van ini, Belanda telah membuat loji perniagaannya di Batu Sawar atas sokongan Sultan Abdullah.
Akhirnya pada 17 Mei 1606, Sultan Abdullah telah membuat perjanjian dengan Belanda antara lainnya ialah Johor hendak berkerjasama dengan Belanda menyerang Portugis dan dengan itu Sultan Abdullah telah menghantar bantuan 50 perahu dan 3000 askar dan Belanda pula 11 kapal.
Pada 18 Mei 1606, Belanda dan Johor mengepung Portugis di Melaka sehingga Ogos 1606. Portugis telah mendapat bantuan sebanyak 14 buah kapal perang menahan angkatan Johor-Belanda.
Pertempuran berlaku pada 17 Ogos 1606 dan pada 24 Ogos 1606, Cornelis Matelief iaitu ketua angkatan Belanda telah berundur. Berikutan itu, pada Sept 1606, Belanda cuba mendapatkan pengesahan perjanjian 17 Mei dengan Sultan Alauddin III.
Pada 20 Mei 1640, Jeneral Antonio Van Diemen pergi ke Melaka dengan 4 buah kapal dan 332 askar dan pada Julai 1640 Sultan Abdul Jalil yang menjadi Sultan Johor-Pahang atas bantuan Belanda pada 1638 telah menghantar bantuan sebanyak 40 perahu dan 1500 askar yang diketuai Laksamana Abdul Jamil. Angkatan ini telah berpecah 3 iaitu:-
1. Jacob Cooper
2. William Caertekoe
3. Laksamana Tun Abdul Jamil Paduka Raja
Maka pada Ogos 1640, mereka telah mengepung kota Melaka dan pada Januari 1641 mereka telah dapat menembusi kota Melaka dan Gabenor Melaka pada masa itu Manuel De Souze Cautinhi telah menyerah kalah. Pada 14 Januari 1641, berakhirlah pemerintahan Portugis di Melaka.
Kesimpulan
Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun, bermula 1511 hingga 1641 apabila dikalah Belanda/Johor. Sepanjang Portugis menduduki Melaka, mereka seringkali diserang dan diancam terutama sekali dari Johor, Acheh dan Belanda selain Pahang, Perak dan Naning dan rakyat Melaka sendiri.Ini menunjukkan orang Melayu tidak mudah patah semangat dan terus berjuang untuk menawan Melaka dari dijajah oleh Portugis walaupun untuk tempoh yang agak lama.
Semoga bangsa Melayu tahu erti sejarah dan mengambil iktibar supaya kelak kita tidak lagi dijajah minda dan fikiran walaupun secara fizikalnya tidak!
Tunggu artikel akan datang – Hikayat Merong Mahawangsa..
Sekian dari Anak Waris.
Artikel sama yang berkaitan:
  1. Pahlawan Melayu yang Hilang – Si Bongkok Baru ini, penulis ada berjumpa dengan sahabat dari selatan – Johor dan bersembang panjang, maklumlah dah lama...
  2. Sejarah Melaka yang Dipesongkan. Salah Siapa? Mengikut sejarah, Melaka dibuka oleh Parameswara pada tahun 1400. Tetapi mengikut Manuskrip Melayu Lama - Buku Undang-Undang...
  3. Masih Ada Yang Ingat Sejarah Bangsa Siam Islam Kedah, dari cerita anak turun mereka - diolah dari blog sejarah nagara Kedah. - Anak...
  4. Kejatuhan Empayar Melaka. Pengajaran dan yang Tersirat. Melaka sebelum ditawan Portugis atau Peringgi ialah sebuah pusat perdagangan yang maju di Asia Tenggara. Semua masyarakat...
  5. Rentetan dan Penilaian Peristiwa Pembunuhan J.W.W Birch Sejarah Melayu membuktikan bahawa campur tangan Inggeris di negeri-negeri tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka banyak dicetuskan...
Sub topik: