Hang Tuah – Strategi Pahlawan 1: Persediaan Awal yang Serius dan Bersungguh-Sungguh
9:51 PTG Edit This 0 Comments »Lanjutan dari artikel ‘Hang Tuah – Melihat Dari Perspektif Prinsip Pemikiran Strategik, berikut diperturunkan sebahagian pengajaran yang sempat dirungkai dari Hikayat Hang Tuah untuk perkongsian ilmu.
Prinsip pertama adalah dipetik dari fasa awal kehidupan Hang Tuah. Seperti yang diceritakan dalam artikel “Hang Tuah – Antara Sejarah, Mitos atau Hikayat?”, Hang Tuah lahir hasil perkongsian hidup Hang Mahmud dan isterinya Dang Merdu Wati. Bagi mencapai impian Hang Mahmud untuk melihat anak ini membesar menjadi insan yang hebat, maka mereka sekeluarga telah mengambil keputusan untuk berpindah dari Sungai Duyong ke Bentan yang dianggap lebih kondusif dalam pembentukan peribadi Hang Tuah.
Di sana, Hang Mahmud telah memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual makanan dan kayu api. Beliau dibantu oleh isterinya, sementara Hang Tuah pula ditugaskan dengan tugasan yang pelbagai termasuklah dalam pengurusan logistik ke rumah Bendahara, hinggalah kepada memotong dan mengumpul kayu api.
Hang Tuah sendiri telah mempelajari 12 bahasa pelbagai komuniti masyarakat pada seawal usia 10 tahun.
Diringkaskan cerita, perjalanan hidup Hang Tuah di usia mudanya banyak terikat dengan bimbingan ilmu dan asuhan disiplin dari ayahandanya sendiri.
Impian seorang ayah, sudah tentunya ialah untuk melihat anaknya menjadi seorang yang berjaya. Maka tidak hairanlah, ayah Hang Tuah begitu serius, teliti dan prihatin dalam memastikan pergaulan, persekitaran dan kehidupan Hang Tuah tidak tercemar dengan unsur-unsur yang buleh membantutkan impiannya. Jesteru, Hang Mahmud memastikan perjalanan hidup anaknya tidak terkeluar dari kerangka yang telah ditetapkan.
Hang Tuah telah didedahkan dengan selok-belok dan seni perniagaan atas bimbingan ayahandanya sendiri. Tradisi pahlawan Melayu juga diwarisi oleh Hang Tuah. Berkemungkinan besar, ayahandanya sendiri adalah guru terawal Hang Tuah dalam ilmu persilatan yang akhirnya, mempertemukan lima sahabat karib yang terkenal dengan keakraban yang cukup tinggi nilainya.
Pengajarannya ialah, sebagai insan, kita adalah pemimpin kepada rakyat bawahan kita dalam skop masing-masing. Sepertimana Hang Mahmud serius membimbing dan membentuk keperibadian anakandanya, Hang Tuah, maka kita juga selayaknya mengambil sikap begitu dalam mendidik anak-anak.
Prinsip ini walaupun nampak biasa, tetapi merupakan antara batu asas pembentukan diri pejuang atau pahlawan yang menitikberatkan pembentukan disiplin diri seawal usia kanak-kanak lagi. Ianya hanya tercapai menerusi bimbingan seorang ayah/pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh mencurah ilmu, pengalaman dan petunjuk yang terbaik ke arah merealisasikan impiannya untuk melihat si anak menjadi insan yang hebat.
Dalam konteks pembentukan seorang pejuang yang mahir dalam seni pertempuran, prinsip ini sebenarnya selari dengan saranan-saranan ‘Sun Tzu’s Art of War’ khususnya, malah nasihat-nasihat ilmuan Islam yang merumuskan antaranya:
- Pemimpin (buleh jadi ia seorang ayah, pengurus, pemimpin organisasi, dan sebagainya) perlu membimbing dan melatih orang bawahannya. Ibnu Khaldun juga ada menyatakan dalam Al-Muqaddimah, “Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar.”
- Pemimpin perlu mahir dan tajam pemikirannya dalam melakukan ‘quantitative estimation’ dan menjauhkan sikap sambil lewa atau suka melakukan ‘guesswork’ dalam tugasan
Jika dikaji, Hang Tuah juga telah membuktikan kemampuan dalam melakukan satu keputusan strategik secara pantas dengan melakukan perubahan dalam strategi perniagaannya bagi melonjakkan kembali perniagaan ayahnya yang kurang memberangsangkan pada ketika itu. Apa yang dilakukan ialah dengan melakukan misi menjalin perhubungan perniagaan luar dengan mendapatkan sumber-sumber bahan di luar Melaka, iaitu di Tanah Jawa.
Dalam konteks ini, mana mungkin Laksamana Hang Tuah mampu melakukan semua ini jika beliau bukannya seorang:
- ‘Self starter’ – iaitu tidak bersikap tunggu dan lihat dan bergantung pada arahan dari orang lain
- Sudah tentu pengalaman Hang Tuah bersama dalam perniagaan ayahnya banyak membantu dirinya dengan kemahiran ‘quantitative estimation’ yang membolehkan beliau memiliki ciri-ciri ‘self starter’ atau peneraju yang mampu bertindak dengan penuh keyakinan. Ini adalah kerana keputusan yang diambil adalah berasas, ada kira-kiranya dan berfakta
Inilah serba ringkas kupasan WM yang tak seberapa, sekadar untuk perkongsian ilmu. Semoga ada manfaatnya pada pembaca semua dan bersambung dengan kupasan seterusnya.
Artikel sama yang berkaitan:- Dari Mana Hang Tuah Berasal? Versi Sulalatus Salatin Menurut versi Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu oleh A. Samad Ahmad, asal nama Hang Tuah ialah nama yang...
- Bicara Hang Tuah Lima Bersaudara dari Perspektif Yang Lebih Luas Bila berbicara tentang empat sahabat besar Nabi SAW, maka kita akan dapat melihat kehebatan dan keunikan masing-masing...
- Kejatuhan Empayar Melaka. Pengajaran dan yang Tersirat. Melaka sebelum ditawan Portugis atau Peringgi ialah sebuah pusat perdagangan yang maju di Asia Tenggara. Semua masyarakat...
- Hang Tuah – Melihat Dari Perspektif Prinsip Pemikiran Strategik WM tertarik dan terpanggil untuk sama-sama berkomentar atas tajuk artikel yang dibawa oleh Anak Waris berkisar seorang...
- Hang Tuah – Antara Sejarah, Mitos atau Hikayat? Siapa tidak kenal dengan nama Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu Melaka yang sifatnya ingin berbakti kepada Sultan...
Artikel selepas: Cintailah Buminda Kita (Sempena 40 Tahun Hari Bumi) »